Friday, 18 April 2014

ANTARA TINDAKAN YANG DIAMBIL OLEH PBB



KERATAN AKHBAR


NEW YORK: Jerebu tebal dari Indonesia yang kini merebak ke Singapura dan Malaysia mendorong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat gesaan agar langkah pantas segera diambil untuk meningkatkan kualiti udara di Asia Tenggara.

Dalam reaksinya tentang asbut tebal yang memenuhi ruang udara kebanyakan bandar raya di Asia Tenggara, seorang pegawai kanan PBB menggesa kerajaan di rantau itu supaya mengambil tindakan segera dan berkesan untuk menghadapi cabaran serius daripada kemerosotan kualiti udara yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk di sana.

Noelen Heyzer, setiausaha eksekutif Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Rantau Asia dan Pasifik (ESCAP) yang berpejabat di Bangkok, berkata masalah berkaitan pencemaran udara antara Indonesia dan Singapura ketika ini "memberi petanda bahawa cabaran lebih meluas yang akan muncul di negara terbabit (di rantau itu)."
Sejajar dengan itu, beliau menyeru kerajaan di rantau itu supaya memberi keutamaan terhadap isu kualiti udara dan kesihatan manusia.

“Pencemaran rentas sempadan adalah sesuatu yang kompleks dari segi politik, namun ia perlu ditangani dengan segera. Kita memerlukan rangka kerja lebih berkesan untuk mengurus perkhidmatan ekosistem seperti udara dan air, yang melangkaui sempadan pentadbiran dan politik," katanya.

Beliau berkata perkara itu merupakan isu serantau yang perlu ditangani di peringkat serantau, nasional dan tempatan.

Menurut ESCAP, jumlah kematian akibat pencemaran yang berpunca daripada kenderaan, industri dan kegiatan penghasilan tenaga di bandar raya Asia adalah tinggi, dengan anggaran 500,000 kes kematian pramatang berlaku setiap tahun. 
Memandangkan lebih 1.7 bilion penduduk di rantau Asia Pasifik bergantung pada najis haiwan, kayu, sisa pertanian dan arang batu untuk memenuhi keperluan asas mereka terhadap tenaga, maka pencemaran udara dari dalam rumah yang berpunca daripada penggunaan bahan bakar berbentuk pepejal dianggap menjadi punca bagi lebih 1.6 juta kematian, dengan jumlah korban paling tinggi membabitkan wanita dan kanak-kanak.

Heyzer berkata oleh kerana kesihatan merupakan "pendaya paling penting bagi pembangunan", maka sebuah rantau yang lebih lestari perlu dibina dengan memberi keutamaan terhadap langkah mencegah "pencemaran udara, air dan makanan kita serta barangan lain yang menjadi kegunaan bersama di rantau ini".

Beliau berkata pelaburan dalam sistem penjagaan kesihatan hanya merupakan suatu pembaziran jika pada waktu yang sama, sumber paling asas daripada alam sekitar yang begitu penting bagi kesihatan manusia, dimusnahkan.

Pengeluaran karbon dioksida menjadi topik utama dalam perbincangan berkaitan kualiti udara di peringkat serantau dan global berikutan perubahan iklim yang semakin teruk dan ini menunjukkan dengan jelas bahawa antara isu paling serius dan berat berkaitan pencemaran udara, terutama di rantau yang mengalami proses pesat perbandaran, ialah kepekatan zarahan, yang meningkatkan dengan banyaknya risiko penyakit jantung, paru-paru dan kanser.

“Komitmen kami terhadap pembangunan lestari di rantau Asia dan Pasifik akhirnya bergantung pada sejauh mana respons diberi terhadap isu ini," katanya sambil menambah bahawa dengan memperkemaskan mekanisme sedia ada dan melalui platform antara kerajaan yang bersifat inklusif, seperti ESCAP, maka cabaran itu akan dapat ditangani dengan sebaik-baiknya demi manfaat seluruh penduduk di rantau itu. - BERNAMA 




RUJUKAN: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PBBprihatinkemerosotankualitiudaradiAsiaTenggara/Article/index

No comments:

Post a Comment